fb fb fb fb fb

PM umum RM50 juta bantu penduduk terjejas banjir di Kelantan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kiri) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara PPS SMK Agama Lati di Pasir Mas, Kelantan hari ini/FOTO BERNAMA

PASIR MAS, 28 Disember - Setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di Kelantan akan menerima RM1,000 serta tambahan bantuan lain bergantung pada kerugian yang dialami, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bantuan awal itu melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM50 juta akan disalurkan terus kepada penduduk yang terjejas.

"Bagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan sekitar, setakat ini kita meluluskan peruntukan awal RM50 juta melalui Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Insya-Allah kita akan lebih kurang.. kerana telah dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan tadi (bahawa) ada keluarga yang dah tiga kali hadapi masalah banjir dan kerosakan yang sangat berat dihadapi, itu insya-Allah kita akan bantu," katanya pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di Kampung Banggol Manok di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut hadir Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Dr Ahmad Anuar Othman.

Anwar turut berterima kasih kepada semua pihak meliputi jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang membantu mangsa banjir.

"Kerjasama kedua-dua pihak ini menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat.

"Apa yang penting, kita mahu meredakan tekanan yang dialami rakyat akibat banjir," katanya.

Setakat pukul 4.23 petang ini, PPS SMKA Lati menempatkan seramai 218 keluarga dan jumlah penduduk terjejas banjir adalah 700 orang.

GRACE AISYAH KEDAYAN