
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Andy Burnham atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Britain, sambil menyatakan komitmen beliau untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Malaysia-United Kingdom (UK).
- Berharap memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Digital dan memperluas kerjasama dalam kecerdasan buatan, pendigitalan, tenaga bersih serta pertahanan.
- Menyambut pengakuan Burnham bahawa respons awal Britain terhadap penderitaan Gaza tidak memadai dan menggesa tekanan lebih besar ke atas rejim Israel.
- Tahun depan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik, masa sesuai memperbaharui komitmen dan mencorakkan lembaran baharu kerjasama dua hala.
- Merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Keir Starmer atas sumbangan dan mendoakan kejayaan beliau pada masa hadapan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Datuk Seri Anwar berkata beliau berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan Burnham untuk membawa Perkongsian Strategik Malaysia-UK ke tahap seterusnya termasuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Digital dan memperluas usaha sama dalam bidang kecerdasan buatan, pendigitalan, tenaga bersih serta pertahanan.
Beliau juga menyambut baik pengakuan Burnham bahawa respons awal Britain terhadap penderitaan penduduk di Gaza tidak memadai dan gesaannya agar tekanan lebih besar dikenakan ke atas rejim Israel.
“Ketika banyak pihak di Barat bergelut untuk menunjukkan kejelasan moral yang dituntut oleh krisis ini, pengakuan itu amat dialu-alukan dan adalah langkah pertama yang penting,” katanya.
Perdana Menteri berkata tahun depan menandakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan UK, serta menyifatkan ia sebagai masa yang tepat untuk memperbaharui komitmen kedua-dua negara terhadap kerjasama yang telah lama terjalin dan bersama-sama mencorakkan lembaran baharu dalam hubungan dua hala.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Keir Starmer atas sumbangan beliau terhadap hubungan Malaysia-UK sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya mendoakan kejayaan beliau dalam apa jua usaha yang akan diceburinya pada masa hadapan,” katanya. – BERNAMA