
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Dokumentari tempatan pertama mengenai pemuliharaan beruang madu, ITAM: A Sun Bear Story, dijangka menembusi pasaran China susulan penerbitannya dalam bahasa Mandarin, sekali gus memperluas promosi Malaysia sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
- Tayangan serentak di pawagam seluruh Malaysia bermula 23 Julai, selepas dipertontonkan di Singapura.
- Diterbitkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin untuk mencapai penonton pelbagai latar belakang.
- Mengisahkan perjalanan Itam dari penyelamatan, rehabilitasi di BSBCC Sepilok hingga dilepaskan semula ke habitat asal.
- Memaparkan keindahan hutan hujan Sabah, mempromosikan ekopelancongan dan komitmen pemuliharaan biodiversiti.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata dokumentari itu akan ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai selepas turut dipertontonkan di Singapura.
“Sekarang ini kita akan tayang serentak, 23 Julai seluruh Malaysia dan ia juga baru ditayangkan di Singapura. Kita berharap kita dapat bawa ke negara China kerana ia juga dinarasikan dalam bahasa Mandarin, jadi itu adalah permulaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tayangan perdana ITAM: A Sun Bear Story di ibu negara.
Penerbitan versi bahasa Mandarin membuka peluang untuk memperkenalkan dokumentari berkenaan kepada penonton di China ibarat serampang dua mata dalam memperluas promosi produk pelancongan negara berasaskan biodiversiti dan pemuliharaan hidupan liar.
Diterbitkan Brainchild Pictures, ITAM: A Sun Bear Story merupakan dokumentari tempatan pertama yang memfokuskan kepada pemuliharaan beruang matahari, selain diterbitkan serentak dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
Ketiga-tiga versi dokumentari itu dalam bentuk penceritaan audio dilakukan personaliti televisyen, Baki Zainal, bagi memastikan penyampaian mesej yang konsisten kepada penonton daripada pelbagai latar belakang.
Dokumentari berkenaan mengisahkan perjalanan Itam, seekor beruang madu yang diselamatkan, bermula daripada proses rehabilitasi di Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) di Sepilok sehingga dilepaskan semula ke habitat asalnya.
Selain memaparkan usaha pemuliharaan hidupan liar, filem itu turut mengetengahkan keindahan hutan hujan tropika Sabah termasuk BSBCC dan Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, sekali gus mempromosikan Sabah sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia.
Beruang madu turut dipilih sebagai ikon Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi maskot rasmi Wira dan Manja, mencerminkan komitmen negara terhadap pemuliharaan biodiversiti dan pelancongan lestari.