PUTRAJAYA, 17 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada pihak sekolah agar tidak sesekali melindungi kes buli dan jenayah dengan alasan menjaga imej dan nama baik sekolah.
Tegas Datuk Seri Anwar, tindakan melindungi terbabit boleh dianggap satu kesalahan mahupun melibatkan kes-kes buli yang kecil.
“Antara masalahnya juga adalah salah faham ataupun keutamaan pengetua dan guru besar. Dia hendak melindungi imej sekolah. Anak-anak merundung, bertempur, dia hendak menjaga imej sekolah.
“Jadi sebab itu kita harus menekan mereka harus bertanggungjawab. Kalau ada dilindungi, ia dianggap sebagai satu kesalahan, melindungi jenayah. Kadang-kadang kes buli itu kecil, tetapi kecil itulah kalau dibiarkan akan menjadi besar, tetapi kita bukan hendak tuduh sesiapa, ia satu kesedaran bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat jumaat di Surau Jannahtul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling di sini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar menunaikan solat jumaat bersama kira-kira 500 jemaah.