fb fb fb fb fb

PM puji peserta Hari Kebangsaan, puas hati penganjuran edisi ke-68

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa hampir lima minit bertemu para peserta perbarisan serta orang ramai yang masih setia berada di Dataran Putrajaya

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa puas hati terhadap kejayaan penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya di sini apabila memberikan isyarat 'thumbs up' sejurus acara itu berakhir.

Selepas keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Perdana Menteri sempat meluangkan masa hampir lima minit bertemu para peserta perbarisan serta orang ramai yang masih setia berada di lokasi.

Di pentas human graphic atau grafik manusia beliau turut menyampaikan penghargaan kepada lebih 2,000 pelajar sekolah seluruh Selangor itu yang berbulan-bulan telah berlatih menjayakan persembahan grafik manusia pada pagi ini.

"Saya bangga dengan anak-anak, pertunjukan terbaik dalam sejarah Malaysia, belajar rajin-rajin," katanya ringkas.

Sambutan yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni' itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, selain Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Perarakan tahun ini melibatkan 81 kontinjen dengan penyertaan 14,062 peserta, diiringi 21 pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset Angkatan Tentera Darat serta Tentera Udara Diraja Malaysia, dan 116 ekor haiwan.

Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya sejak malam tadi, menjadikan sambutan kali ini sebagai antara yang paling meriah dan bersejarah dalam kalendar negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI