PM nafi ada kaitan dengan kes Epstein

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Februari– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan beliau mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes pembiaya kewangan Amerika Syarikat, mendiang Jeffrey Epstein.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menafikan sebarang kaitan dengan pihak yang terbabit dalam kes Jeffrey Epstein.
  • Beliau berkata baru sedar namanya disebut dalam pertukaran e-mel berkaitan kes itu.
  • Respons disiarkan di X, lengkap dengan tanda pagar #DoneExplain sebagai penjelasan ringkas.

Menerusi hantaran di X, Anwar secara ringkas berkata beliau baru hari ini menyedari ada pihak luar yang mahu bertemunya dan memetik namanya dalam pertukaran e-mel berkaitan kes tersebut.

“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam e-mel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas e-mel tu, terutama Epstein.

“Ok, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru,” katanya yang tiba di Johor Bahru petang tadi dengan menaiki ETS3 dari Kuala Lumpur.

Dalam hantaran itu, Anwar turut menyertakan tanda pagar #DoneExplain sebagai telah menjelaskan isu tersebut.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan susulan tuntutan Armada Bersatu supaya Anwar memberikan penjelasan berhubung dakwaan pernah berinteraksi secara langsung atau tidak langsung dengan Epstein atau mana-mana individu sebagaimana pendedahan dokumen rasmi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang terkandung dalam arkib Epstein Files.

Menurut laporan media, dokumen dan surat-menyurat berkaitan kini dikeluarkan oleh DOJ sebagai sebahagian daripada usaha ketelusan dalam siasatan terhadap Epstein. -BERNAMA