KUALA LUMPUR, 9 Januari- Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula esok.
Ia lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Oktober tahun lepas.
Kenyataan Wisma Putra memaklumkan Ishiba akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pihak dijangka meneliti semula kemajuan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Jepun.
Ia terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia dan kerjasama dalam bidang tenaga.
Datuk Seri Anwar dan Ishiba juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk situasi di Asia Barat.
Hubungan Malaysia dengan Jepun telah bertambah kukuh sejak dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.
Jepun merupakan rakan ekonomi utama bagi Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.