JITRA, 19 Februari- Kisah seorang lelaki yang tular di media sosial menjual daging salai bagi mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepala baru-baru ini mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammad Sufi Abd Aziz, 36, mengalami keadaan itu sejak hampir setahun lalu dan masih menjalani rawatan susulan.
Sumbangan berupa wang tunai RM15,000 serta barangan keperluan harian disalurkan menerusi wakil Perdana Menteri, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Zaiton Yahya di kediaman Muhammad Sufi di Taman Jitra Indah di sini hari ini.
"Keprihatinan kita adalah untuk membantu beliau meneruskan rawatan. Jadi, pada petang ini, kami hadir bagi menyampaikan sedikit sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri untuk beliau," katanya.
Muhammad Sufi yang terpaksa mengambil cuti sakit sejak setahun lalu melahirkan rasa syukur atas keprihatinan Perdana Menteri. "Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan ini. Sumbangan ini dapat meringankan kos rawatan saya," katanya.
Beliau sebelum ini bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, kini hanya menerima separuh gaji dan terpaksa menjual daging salai secara atas talian untuk menampung perbelanjaan harian.
Muhammad Sufi mempunyai seorang anak dan menetap bersama ibunya, Noraini Ishak, 71, yang menguruskan keperluannya.