fb fb fb fb fb

PM hadiri sesi libat urus bersama pimpinan Islam Afrika Selatan

FOTO PEJABAT PERDANA MENTERI

JOHANNESBURG, 21 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi libat urus bersama pimpinan Islam Afrika Selatan sebagai pembuka tirai lawatan kerja hari kedua, di sini.

Datuk Seri Anwar berkata ia merupakan sebuah pertemuan penting yang membuka ruang untuk berbincang, bertukar pandangan serta mengenal pasti usaha-usaha bagi memperkukuh pembangunan ummah.

Katanya, Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang halal dengan negara-negara Afrika termasuk pembangunan pensijilan serta pembangunan kapasiti yang mampu memberi nilai tambah kepada komuniti Islam setempat.

Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan, dakwah berhemah, dialog antara peradaban serta kerjasama erat dengan komuniti Islam di Afrika Selatan selaras dengan komitmen mengangkat martabat Islam sebagai agama yang menjunjung kesejahteraan, toleransi dan ihsan.

Sebagai lambang persaudaraan, Perdana Menteri turut menyerahkan sumbangan senaskhah al-Quran edisi khas berserta rehal, selain empat kotak al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan bertajwid.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM