
KUALA LUMPUR, 16 Januari -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan segera diambil bagi memperbaiki kelewatan pelaksanaan projek fizikal yang gagal mencapai sasaran tahun lalu.
Beliau menegaskan, kelemahan berkenaan perlu ditangani dengan pantas, khususnya melibatkan projek berskala kecil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Datuk Seri Anwar bagaimanapun berkata, kelemahan tersebut tidak wajar dijadikan asas untuk menghukum keseluruhan kementerian atau jentera kerajaan.
“Jangan ada pandangan serong terhadap kementerian dan pasukan secara keseluruhan. Tindakan perlu diambil terhadap pegawai tertentu yang terlibat.
Apabila ada kelemahan yang perlu diperbaiki, ia tidak bermakna semuanya gagal. Yang penting, tindakan mesti disegerakan, terutama projek-projek kecil yang memberi keringanan secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, di sini.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan, seramai 14 Ketua Setiausaha (KSU) kementerian akan dipanggil bagi memberi penjelasan.
Ia susulan kegagalan kementerian masing-masing mencapai sasaran pelaksanaan pembangunan projek fizikal tahun lalu, dengan pencapaian perbelanjaan pembangunan asas (DE Asas) negara hanya mencatat purata 87.91 peratus, bawah paras nasional.
Menurut beliau, projek melibatkan kepentingan rakyat seperti pembinaan dan naik taraf jalan raya, sekolah, klinik serta hospital tetap diteruskan, namun pelaksanaannya berjalan lebih perlahan daripada jadual ditetapkan.