
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneruskan komitmen memperkasa peranan belia negara di peringkat global menerusi pelaksanaan Dana Antarabangsa Belia KBS atau International Youth Fund (IYF@KBS) 2026, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing di persada antarabangsa.
- Memperkasakan penyertaan belia Malaysia di platform global untuk suarakan isu dan praktik terbaik antarabangsa.
- Memberi dana one-off hingga RM20,000 untuk menyokong penyertaan, perjalanan dan keperluan program antarabangsa.
- Menguatkan kepimpinan, jaringan strategik dan kefahaman rentas budaya selari Dasar Belia Malaysia dan Model MADANI.
Menerusi inisiatif itu, belia berumur antara 18 hingga 30 tahun berpeluang menyertai pelbagai platform global termasuk mesyuarat, forum, persidangan dan simposium antarabangsa berkaitan pembangunan belia, sekali gus membolehkan suara belia Malaysia diketengahkan dalam perbincangan isu-isu global.
KBS menerusi satu kenyataan memaklumkan, penyertaan di peringkat antarabangsa bukan sahaja memberi pendedahan kepada amalan terbaik dunia, malah berperanan membina jaringan strategik, memperkukuh kefahaman rentas budaya serta meningkatkan keupayaan kepimpinan belia negara.
“Inisiatif ini selari dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia MADANI yang mendayaupayakan belia untuk terlibat secara langsung dalam proses pencorakan dasar, program dan inisiatif belia di peringkat serantau serta global,” menurut kenyataan itu.
Bagi tahun 2026, dana secara one-off sehingga maksimum RM20,000 ditawarkan kepada belia warganegara Malaysia, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang aktif dalam persatuan, pertubuhan atau kelab yang berdaftar.
Bantuan tersebut merangkumi yuran penyertaan program, tiket penerbangan kelas ekonomi, elaun makan, insurans, visa serta penginapan, tertakluk kepada kadar yang ditetapkan.
Permohonan dibuka dalam empat siri bermula hari ini bagi program antarabangsa yang berlangsung antara 1 Mac hingga 15 November 2026, dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi KBS.
KBS yakin pelaksanaan IYF@KBS 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi belia yang berwibawa, progresif dan berdaya saing, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.