(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob/BERNAMA)
KUALA LUMPUR,15 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyelesaikan segera isu pembekuan pekerja asing dari Indonesia.
Ismail Sabri berkata, isu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Indonesia berhubung proses pengambilan pekerja dari negara tersebut perlu diselesaikan segera, bagi mengelak timbulnya masalah antara Malaysia dengan Indonesia.
Katanya, beliau tidak mahu isu berkenaan berpanjangan dan meminta dua kementerian terlibat segera menanganinya.
“Saya dah minta KSM, saya dah minta KDN selesaikan. Saya tak nak (isu) dipanjang-panjangkan. Jadi saya kata, selesaikan. Kerana jika tidak diselesaikan kita bimbang akan ada masalah kita dan Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran ‘Home Ownership Programme’ (Program Pemilikan Kediaman) (HOPE) dan Karnival Jom Beli Rumah di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada MoU berkenaan akan dibatalkan, Ismail Sabri menolak dakwaan itu.
"Tidak..tidak," jawabnya.
(Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan/BERNAMA)
Memetik laporan Bernama, terdahulu dilaporkan Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja negara itu memasuki Malaysia sejak semalam, berikutan Jabatan Imigresen Malaysia terus menggunakan ‘System Maid Online’ (SMO) biarpun kedua-dua negara menerusi MoU, bersetuju menggunakan satu saluran iaitu ‘One Channel System’ (OCS).
Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono dilaporkan berkata MoU terbabit tidak dihormati, berikutan butiran dalam perjanjiannya tidak dipatuhi Malaysia.