
PUTRAJAYA, 26 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti dapatan mesyuarat penyelarasan khas berkaitan isu pelarian Rohingya, sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat kerajaan.
- Penyelarasan tindakan antara kementerian dan agensi melibatkan pendaftaran, penguatkuasaan serta pengurusan pelarian Rohingya.
- Mesyuarat melibatkan MKN, KDN, PDRM, Jabatan Imigresen, DBKL, Pejabat Menteri Besar Selangor, KLN dan agensi lain.
- Dapatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri namun isu masih dalam peringkat penelitian tanpa keputusan khusus.
- Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing akan diadakan minggu depan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, fokus termasuk sektor makanan dan minuman.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu melibatkan penyelarasan tindakan antara kementerian dan agensi berkaitan termasuk aspek pendaftaran, penguatkuasaan serta pengurusan pelarian berkenaan.
Beliau berkata, mesyuarat penyelarasan itu melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Menteri Besar Selangor, Kementerian Luar Negeri (KLN) serta beberapa agensi lain.
“Sekiranya ia berkaitan sama ada pendaftaran ataupun perkara-perkara berkaitan, maka perlu diselaraskan di antara pelbagai agensi termasuk pihak-pihak berkuasa tempatan dari segi penguatkuasaan,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Ujarnya, dapatan daripada perbincangan sebelum ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sebelum Perdana Menteri mengarahkan KDN meneliti perkara itu.
Datuk Fahmi berkata, penyelarasan antara semua agensi penting bagi memastikan sebarang tindakan dapat dilaksanakan secara teratur, termasuk melibatkan pihak berkuasa tempatan dari segi penguatkuasaan.
Bagaimanapun, beliau berkata isu itu masih dalam peringkat penelitian dan belum ada sebarang keputusan khusus untuk diumumkan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu Pekerja Asing akan diadakan seawal minggu depan bagi meneliti isu pengambilan pekerja asing termasuk dalam sektor makanan dan minuman.
Beliau berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan Jemaah Menteri hari ini.
Katanya, mesyuarat berkenaan bertujuan memastikan isu berkaitan pekerja asing dapat diuruskan dengan lebih berkesan termasuk mengambil kira keperluan industri serta penyelarasan antara agensi.