
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2010 diluluskan sebulat suara di Dewan Negara hari ini bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan undang-undang persaingan di Malaysia.
- Pindaan menumpukan usaha membanteras kartel, penetapan harga dan penyalahgunaan kedudukan dominan bagi mewujudkan pasaran lebih adil, telus dan kompetitif.
- Reformasi rejim kawalan penggabungan akan dilaksanakan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 bagi memperkukuh ekosistem persaingan negara.
- Peruntukan kawalan penggabungan tidak dimasukkan dalam RUU sekarang kerana pendekatan reformasi dilaksanakan secara berfasa.
- MyCC memperkukuh keupayaan penguatkuasaan termasuk Bahagian Penyiasatan, Unit Forensik Digital dan latihan bagi isu persaingan digital serta AI.
Pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 (Akta 712) itu memberi tumpuan kepada usaha membanteras amalan antipersaingan, termasuk kartel, penetapan harga dan penyalahgunaan kedudukan dominan, sekali gus mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih adil, telus dan kompetitif.
Pada masa sama, kerajaan memaklumkan bahawa reformasi rejim kawalan penggabungan akan dilaksanakan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh ekosistem persaingan negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, ketika menggulung perbahasan berkata, kerajaan mengiktiraf kepentingan pelaksanaan rejim kawalan penggabungan bagi melengkapkan kerangka persaingan negara.
“Pelaksanaannya membolehkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bukan sahaja menangani aktiviti kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan, malah mengawal penggabungan syarikat yang berpotensi menjejaskan persaingan,” katanya.
Bagaimanapun, peruntukan berkaitan rejim kawalan penggabungan tidak dimasukkan dalam RUU Persaingan yang sedang dibentangkan kerana pendekatan reformasi dilaksanakan secara berfasa.
“Buat masa kini, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menutup jurang penguatkuasaan yang dikenal pasti sepanjang pelaksanaan Akta Persaingan 2010.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, beliau turut memaklumkan, landskap ekonomi yang dipacu teknologi digital serta kemunculan model perniagaan baharu menjadikan amalan antipersaingan semakin kompleks dan sukar dikesan.
Sehubungan itu, MyCC terus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dengan meningkatkan kapasiti Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan, termasuk Unit Forensik Digital, selain mempertingkat kemahiran pegawai dalam menangani isu persaingan melibatkan ekonomi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI).