
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Buku PDRM: Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dilancarkan hari ini, yang mendokumentasikan lebih tiga dekad penyertaan PDRM dalam 13 misi pengaman PBB sejak 1991.
- Buku memperincikan pengorbanan, peranan dan sumbangan besar anggota PDRM dalam misi pengaman PBB.
- Menegaskan keberkesanan Acuan Kepolisian Watan Malaysia sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
- Menjadi rujukan kepada penyelidik, pembuat dasar dan generasi pelapis untuk mewariskan pengalaman operasi dan kepakaran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, buku tersebut memperincikan pengorbanan, peranan, dan sumbangan besar pasukan keselamatan negara sepanjang penglibatan antarabangsa mereka.
Serta, membuktikan Acuan Kepolisian Watan Malaysia berkesan sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, penerbitan buku itu bukan sekadar catatan sejarah, malah menjadi bukti keupayaan PDRM menggalas tanggungjawab di peringkat global serta berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan krisis, kerjasama rentas budaya dan pembuat keputusan di kawasan konflik.
“Buku ini turut menekankan bahawa kepimpinan sebenar tidak diuji di dalam bilik mesyuarat yang selesa, tetapi ditempa dalam persekitaran yang sarat dengan ketidakpastian, perubahan drastik dan kekangan sumber di zon konflik.
Melalui catatan sejarah dalam 13 misi global yang diketengahkan, pembaca disajikan dengan pelan tindakan praktikal mengenai kerjasama rentas budaya dan pembuatan keputusan berimpak tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Buku PDRM: Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini, hari ini.
Tambah beliau, buku itu turut mengetengahkan dimensi pengorbanan pegawai dan anggota PDRM yang berkhidmat bawah panji PBB, termasuk cabaran emosi serta pengorbanan meninggalkan keluarga demi melaksanakan misi keamanan dunia.
Menurut Tan Sri Mohd Khalid, anggota PDRM yang menyertai misi pengaman bukan sekadar menjalankan tugas sebagai penguat kuasa, malah berperanan sebagai “Duta Kecil Negara” yang membawa imej Malaysia sebagai sebuah negara yang berdisiplin, berintegriti dan berhemah di pentas antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau berharap buku tersebut menjadi rujukan utama kepada penyelidik, penggubal dasar dan generasi pelapis, selain memastikan pengalaman operasi serta kebijaksanaan yang dikumpulkan sepanjang penyertaan PDRM dalam misi pengaman dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
PDRM: Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mula didokumenkan pada Disember 2025 oleh 22 pegawai dan anggota yang berkemahiran dalam penulisan, diketuai Penolong Pengarah Pengurusan (Penilaian Kompetensi), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Ts. Dr. Sivabalan Suppiah.
Penerbitan sulung melibatkan 500 naskhah, yang akan diedarkan ke perpustakaan dan sekolah-sekolah di seluruh negara, selain dijual kepada orang ramai.
Pada majlis sama, PDRM turut menerima pengiktirafan ASEAN RECORD bagi Pencapaian Pengerahan Anggota Pasukan Polis Negara Terbesar ke Sebuah Negara Tuan Rumah Sepanjang Keseluruhan Siri Misi Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Pengiktirafan itu disampaikan Penasihat ASEAN RECORD, Tan Sri Danny Ooi sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen berterusan PDRM dalam misi pengaman PBB.