fb fb fb fb fb

Pimpinan dalam kerajaan disaran cari jalan selesai masalah di kampung halaman masing-masing - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program Bicara Eksekutif Malaysia MADANI Penjawat Awam 2024 di Putrajaya

PUTRAJAYA, 21 Mac - Pemimpin-pemimpin dalam kerajaan disaran mencari jalan atau kaedah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat di kampung halaman masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah sedemikian mampu menyelesaikan separuh daripada permasalahan berkaitan isu sosial, kewangan dan pendidikan di kawasan luar bandar.

"Saya mulakan dengan, Bukit Mertajam. Dalam seminggu ini saya terpaksa hubungi rakan atau balik kawasan untuk tentukan wakil wanita, wakil belia, jawatankuasa masjid, jawatankuasa kampung supaya semua ada tanggungjawab untuk menyampaikan (memaklumkan) kemudahan dan keperluan mereka (penduduk) termasuk keluarga miskin, kedudukan pendidikan di sekolah, masalah dadah di kampung. Semua ini harus diambil tahu.

"Saya juga anjurkan selain daripada memenuhi tanggungjawab, setiap orang jaga kampung sendiri dulu, kita juga harus terima, tidak ada terkecuali termasuk saya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bicara Eksekutif Malaysia MADANI Penjawat Awam 2024, di sini.

Tambah Anwar, beliau mahu semua perbincangan bersifat jumud dan lapuk dihentikan bagi mengangkat darjat negara ke peringkat lebih tinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN