
KUALA LUMPUR, 9 September – Pakatan Harapan (PH) mengulangi pendirian untuk terus menjunjung perlembagaan, menghormati institusi negara dan kekal teguh mempertahankan prinsip reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah selain memberi sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam memerangi ketirisan dan salah guna kuasa.
- PH menuntut siasatan menyeluruh tanpa kompromi; individu disabit rasuah atau salah guna kuasa mesti menjalani hukuman penuh.
- Proses kehakiman perlu diberi ruang bebas dan teratur bagi mengekalkan prinsip kedaulatan undang-undang dan mengelakkan persepsi berat sebelah.
- Perkukuh tadbir urus serta terus memulih dan memelihara keyakinan rakyat dan antarabangsa terhadap institusi negara dan usaha membanteras rasuah.
Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan memaklumkan gabungan itu turut menjunjung penuh titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes harus disiasat dengan menyeluruh tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“PH sebagai sebuah gabungan politik yang sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa berpendirian bahawa mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah.
“Prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan pula diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului pertimbangan lain,” menurut kenyataan itu.
Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan perlu memperkukuh tadbir urus dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Sebarang keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut.
“Beberapa kes-kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut telah memberikan kesan yang besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa. Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara,” tambah kenyataan itu.
PH dibina atas sokongan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda Reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.
Amanah tersebut menuntut parti gabungan itu untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, walaupun ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar dan berdepan tekanan dari pelbagai sudut.