
KUALA LUMPUR, 9 September – Jasa dan pengorbanan juruterbang serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang maut dalam nahas helikopter perkhidmatan doktor udara (PDU) di Sarawak, petang semalam akan sentiasa dikenang.
- Ahmad Zahid mendoakan keluarga mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran.
- Fadillah Yusof meluahkan dukacita, mengucap takziah dan mendoakan urusan keluarga dipermudahkan.
- Penghargaan kepada mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman demi memastikan rakyat tidak dilupakan.
- Tragedi nahas helikopter menyentuh hati rakyat dan mengingatkan pengorbanan petugas perkhidmatan awam.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran Facebook mendoakan agar seluruh keluarga dan waris mangsa terlibat diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi kehilangan yang amat berat itu.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini.
“Lebih menyentuh hati, mereka pergi ketika sedang melaksanakan amanah dan tugas untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman,” menurut hantaran itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof juga meneruti catatan Facebook meluahkan kesedihan dan dukacita atas nahas helikopter tersebut.
“Salam takziah kepada keluarga dan waris mangsa yang terlibat dalam nahas ini. Semoga mereka dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi detik yang amat mencabar ini.
“Saya juga mendoakan semoga dipermudahkan segala urusan keluarga mangsa dan mereka yang terkesan dengan kejadian ini,” menurut hantaran itu.
Semua mangsa melaksanakan amanah, berkhidmat di kawasan yang mencabar, meredah jarak dan keadaan demi memastikan rakyat di pedalaman tidak dilupakan.
Pada Selasa seorang juruterbang dan empat petugas KKM disahkan maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara dinaiki mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.