Jangan jadikan pil penenang sebagai alasan lari dari masalah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 September – Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan pil penenang semata-mata untuk melarikan diri daripada tekanan atau masalah kehidupan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Elakkan pengambilan pil penenang tanpa pemantauan doktor; ia berisiko membahayakan kesihatan dan menyebabkan kebergantungan.
  • Ubat tidak boleh dikongsi; dos berbeza dan kondisi seperti penyakit jantung atau buah pinggang boleh menjejaskan kesesuaian.
  • Penggunaan untuk lari daripada masalah salah; toleransi dan sindrom penarikan boleh berlaku; dapatkan rujukan serta kawalan preskripsi pakar.

Pegawai Farmasi Hospital Putrajaya, Siti Salwani Razali berkata pengambilan pil penenang tanpa pemantauan doktor bertauliah bukan sahaja berisiko membahayakan kesihatan, malah boleh membuatkan badan bergantung sepenuhnya pada ubat tersebut.

Beliau berkata pesakit yang dibekalkan dengan pil penenang dilarang sama sekali berkongsi ubat tersebut dengan orang lain, kerana setiap individu mempunyai keperluan dos dan tahap kesihatan berbeza.

“Ubat yang dibekalkan kepada pesakit dilarang sama sekali dikongsikan dengan orang lain kerana setiap individu mempunyai keperluan dos yang berbeza.

“Walaupun mengalami penyakit yang sama, ubat tersebut mungkin tidak sesuai diambil oleh individu lain disebabkan faktor penyakit fizikal lain, seperti masalah jantung atau buah pinggang,” katanya kepada pemberita di Angkasapuri, Kota Media.

Menurut beliau, cabaran utama rawatan psikiatrik adalah mencari ubat yang benar-benar serasi dengan pesakit, iaitu efektif tanpa menjejaskan rutin harian.

Pengambilan pil penenang tanpa kawalan boleh menyebabkan badan membina toleransi, iaitu dos asal tidak lagi berkesan dan perlu dinaikkan.

“Kebergantungan fizikal berlaku apabila pesakit mengambil ubat dalam tempoh yang lama lalu terputus bekalan secara mendadak. Keadaan ini akan mencetuskan reaksi badan yang dikenali sebagai sindrom penarikan, dengan gejala seperti menggigil, resah gelisah serta tangan berpeluh.

“Konsep pil penenang ini bukannya untuk kita lari daripada masalah atau sekadar mencari ketenangan. Pengambilan ubat dengan niat sedemikian tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya menambah risiko baharu seperti kebergantungan fizikal kepada ubat.

“Hakikatnya, pil penenang diambil untuk memberi ruang minda yang tenang supaya pesakit dapat berfikir secara rasional untuk menyelesaikan masalah, bukannya mengelak daripadanya,” kata Puan Salwani lagi.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan rujukan dan kawalan preskripsi yang sah daripada pakar kesihatan bertauliah sebelum mengambil sebarang ubat penenang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.