Dr Ainul Baroah anak baik, tidak menyusahkan – Keluarga

Kamarudin Salleh, bapa kepada Dr Ainul Baroah yang terlibat dalam helikopter terhempas berhampiran Long Lellang, Sarawak/ BERNAMA

KOTA BHARU, 9 September – Kamarudin Salleh, bapa kepada salah seorang mangsa nahas helikopter terhempas di Sarawak, Dr Ainul Baroah, 33 tahun, hanya menerima berita mengenai kejadian itu daripada besannya kira-kira 5 petang pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga menyifatkan Dr Ainul sebagai pendiam, sangat baik dan banyak membantu, tidak pernah menyusahkan keluarga.
  • Dr Ainul bertugas di Hospital Miri hampir dua tahun; terakhir pulang bercuti sekolah sebelum kembali ke Sarawak.
  • Helikopter BO-105 yang menjalankan Perkhidmatan Doktor Udara terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, lima individu termasuk petugas perubatan terlibat.

Kamarudin, 69 tahun berkata beliau dihubungi besannya selepas menerima berita daripada menantunya yang berada di Miri.

“Saya terima berita itu daripada menantu saya yang tinggal di Gua Niah, Miri. Dia telefon selepas solat Asar dan memberitahu ada berita buruk.

“Dua tiga kali dia sebut ‘berita buruk’. Saya tanya berita apa, kemudian dia beritahu helikopter anak saya terbakar,” katanya ketika ditemui RTM di di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa.

Pada ketika itu keluarga masih belum mendapat pengesahan mengenai keadaan Dr Ainul Baroah, sebelum menantunya menghubungi Kamarudin untuk memaklumkan bahawa anaknya disahkan meninggal dunia.

Dr Ainul Baroah bertugas di Hospital Miri dan sudah hampir dua tahun berkhidmat di Sarawak, sebelum itu allaryarhamah bertugas kira-kira dua tahun di Tanah Merah.

Mengulas lanjut, Kamarudin kali terakhir bertemu anaknya baru-baru ini, ketika anaknya pulang bercuti sempena cuti sekolah sebelum kembali ke Sarawak pada Ahad lalu.

Dr Ainul Baroah disifatkan sebagai seorang yang pendiam, sangat baik terhadap keluarga dan banyak membantu mereka sekeluarga.

Sementara itu, ibu kepada Dr Ainul Baroah, pesara guru, Rogayah Mohd Noor, 69 tahun menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik, patuh dan tidak pernah menyusahkan keluarga sejak kecil.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk seorang juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ketika kejadian.

Susulan kejadian itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang
juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.