
SEREMBAN, 9 September – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan dakwaan penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
- Kenyataan media dikeluarkan susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
- Ismail menegaskan sokongan kepada Presiden UMNO serta keluhuran institusi Raja-Raja Melayu dan prinsip Raja Berperlembagaan.
- Wartawan menunggu kira-kira empat jam di Klana Resort Seremban namun tiada sidang media diadakan selepas mesyuarat.
Penafian itu dibuat menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Datuk Ismail pada Selasa, susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung perkara berkenaan.
“Saya sentiasa menyokong Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.
“Saya berharap isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang demi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pihak media yang berada di Klana Resort Seremban malam tadi turut cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada Datuk Ismail berhubung kenyataan berkenaan.
Wartawan menunggu kira-kira empat jam ketika Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri Sembilan berlangsung di lokasi berkenaan, yang bermula pada pukul 9.30 malam. Namun, tiada sidang media diadakan selepas mesyuarat berakhir.