PETRA kaji transformasi loji kumbahan usang kepada pembangunan pelbagai guna

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media Tahun 2026/ Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 17 November – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang mengkaji pendekatan untuk mentransformasikan loji rawatan kumbahan usang di seluruh negara kepada pembangunan pelbagai guna, termasuk taman rekreasi dan kolam takungan air bagi membantu mengurangkan risiko banjir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fungsi rawatan kumbahan dikekalkan di bawah tanah; ruang permukaan dibangunkan sebagai taman rekreasi atau kemudahan awam.
  • Kolam rawatan yang tidak digunakan boleh ditukar menjadi kolam takungan untuk membantu mengurangkan risiko banjir bandar.
  • Jabatan Perkhidmatan Pembetungan akan memperincikan pelan pelaksanaan untuk menambah nilai aset dan memaksimumkan penggunaan peruntukan terhad.
  • Peluang penyertaan sektor swasta dipertimbang; jumlah pelaburan untuk transformasi semua loji masih belum dimuktamadkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada dengan memberikan nilai tambah kepada kawasan loji yang masih beroperasi atau tidak lagi digunakan.

Antara cadangan yang sedang diteliti ialah mengekalkan fungsi rawatan kumbahan di bahagian bawah tanah, manakala kawasan di permukaan dibangunkan sebagai taman rekreasi atau kemudahan awam lain.

Selain itu, kolam rawatan yang tidak lagi digunakan berpotensi ditukar menjadi kolam takungan air bagi membantu mengurangkan risiko banjir, khususnya di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kita sedang mengkaji dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) akan memperincikan bagaimana kita dapat menambah nilai dan memaksimumkan penggunaan dengan kewangan yang agak terhad.

“Bagaimana kita nak gunakan bukan sekadar memperbaiki tetapi untuk tujuan yang pelbagai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media, di sini.

Menurut Datuk Seri Fadillah, JPP sedang memperincikan kaedah pelaksanaan yang bersesuaian bagi memastikan aset sedia ada dapat ditambah nilai, selain mengoptimumkan penggunaan peruntukan kerajaan secara lebih berkesan.

Katanya, terdapat loji yang masih berfungsi, manakala sebahagiannya telah ditutup dan terbiar.

Sehubungan itu, pelbagai pendekatan sedang dipertimbangkan bagi memastikan kawasan berkenaan dapat dimanfaatkan semula.

PETRA juga tidak menolak kemungkinan membuka peluang penyertaan pihak swasta dalam usaha berkenaan memandangkan pelaksanaan projek itu penting dan perlu disegerakan.

Bagaimanapun, jumlah pelaburan yang diperlukan bagi mentransformasikan keseluruhan 418 loji berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Fadillah berkata, pengiktirafan JPP sebagai jabatan teknikal mencerminkan kepakaran serta pengkhususan jabatan itu dalam sektor pembetungan, khususnya dalam aspek kejuruteraan dan teknologi.

Beliau berharap pengiktirafan yang diberikan bagi tempoh dua tahun itu dapat diteruskan secara kekal selepas tempoh berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.