Malaysia-Perancis bawa hubungan pertahanan ke tahap lebih tinggi

Pertemuan dua hala antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Catherine Vautrin, di Wisma Perwira ATM

KUALA LUMPUR, 17 November – Malaysia dan Perancis memperkukuh hubungan pertahanan dua hala menerusi kerjasama strategik, cadangan pemodenan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pengembangan industri pertahanan tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemuktamadan tiga dokumen strategik termasuk Pelan Hala Tuju Keupayaan Pertahanan Dua Hala, Perkongsian Industri Pertahanan dan LoI RC-SHIELD.
  • Penyerahan LoI perolehan aset ATM seperti empat helikopter CSAR Airbus, 36 komponen meriam 105mm serta LoI MLU kapal selam Scorpène.
  • Kerjasama industri melibatkan Thales, Safran, Naval Group dan syarikat tempatan membuka peluang pemindahan teknologi serta penglibatan rantaian bekalan global.

Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini, hari ini.

Pertemuan itu menyaksikan pemuktamadan tiga dokumen strategik utama, merangkumi Pelan Hala Tuju Keupayaan Pertahanan Dua Hala dan Perkongsian Industri Pertahanan.

Dua dokumen lain ialah Surat Niat (LoI) bagi penubuhan Pusat Serantau untuk Menangani Ancaman Hibrid (RC-SHIELD) di Malaysia, yang berpotensi melibatkan penyertaan negara ASEAN, serta Pindaan Perjanjian Keselamatan Maklumat Terkelas 1997.

Dalam perkembangan berkaitan, pertemuan dua hala antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Catherine Vautrin, di Wisma Perwira ATM, hari ini, menyaksikan penyerahan beberapa LoI bagi memperkasa keupayaan aset ATM.

Antaranya, cadangan perolehan empat helikopter Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR) Fasa 1 daripada Airbus Helicopters untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di bawah pelan CAP55, selain 36 unit komponen meriam ringan 105 milimeter daripada KNDS bagi tujuan integrasi tempatan oleh Tentera Darat Malaysia.

Dalam sektor maritim, Boustead Submarine Engineering Services Sdn. Bhd. (BSES) menyerahkan tiga LoI berkaitan program pemodenan pertengahan hayat (MLU) kapal selam Scorpène milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kerjasama itu melibatkan Naval Group bagi menaik taraf sistem pengurusan tempur dan platform bersepadu, Thales bagi sistem sonar serta peperangan elektronik (RESM), manakala Safran pula membabitkan sistem optronik dan periskop. Hexide Engineering Services dilantik sebagai rakan perkhidmatan eksklusif tempatan.

Selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Weststar Aerospace dengan Thales dalam bidang satelit, peluru berpandu dan keselamatan siber taktikal.

MoU antara MILDEF International Technologies dengan Thales turut dimeterai bagi integrasi sistem komunikasi untuk 136 kenderaan perisai Tarantula. Selain itu, inisiatif HEART antara Global Turbine Asia dengan Safran Helicopter Engines membabitkan pemindahan teknologi dalam pembaikan komponen enjin helikopter.

Keseluruhan inisiatif itu dijangka membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan pertahanan global, sekali gus membangunkan keupayaan pertahanan berdaulat negara.

Langkah berkenaan juga penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar, selain memperkukuh kesiagaan ATM serta menjamin keselamatan dan kedaulatan negara dalam jangka panjang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.