
KUANTAN, 13 Mac – Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang terus komited memperkasa keunikan budaya tempatan serta mengekalkan negeri itu sebagai destinasi pilihan utama pelancong, khususnya ketika musim perayaan, menerusi penganjuran Pesta Pelita Raya Pahang 2026.
- Pesta berlangsung 2 hingga 21 Mac 2026 sempena Ramadan dan Aidilfitri, bertujuan menyemarakkan semangat persaudaraan serta kebersamaan rakyat Pahang.
- Melibatkan 11 daerah dan 19 kluster homestay dalam pertandingan dekorasi Aidilfitri yang mempamerkan kreativiti serta identiti budaya komuniti setempat.
- Penjurian 2 hingga 17 Mac menilai kreativiti, inovasi, keserasian tema, pencahayaan, keaslian dan penglibatan komuniti; galak guna bahan kitar semula dan patuhi aspek keselamatan.
Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu berlangsung dari 2 Mac hingga 21 Mac 2026, bersempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man, berkata program berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat negeri itu.
Menurutnya, penganjuran kali ini melibatkan 11 daerah serta 19 kluster homestay di seluruh Pahang melalui pertandingan dekorasi Aidilfitri yang mengetengahkan kreativiti komuniti setempat.
“Setiap daerah dan kluster homestay menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang mencerminkan identiti dan keunikan masing-masing,” katanya.
Sepanjang tempoh pertandingan, penilaian akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk kreativiti, inovasi, keserasian tema, pencahayaan, keaslian dekorasi serta tahap penglibatan komuniti setempat.
Selain itu, program berkenaan turut menggalakkan penggunaan bahan kitar semula dalam dekorasi serta menekankan pematuhan terhadap aspek keselamatan sepanjang proses penyediaan hiasan.
Proses penjurian pertandingan dijalankan dari 2 hingga 17 Mac 2026, manakala pemenang akan diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.