
KUALA LUMPUR, 28 Januari -Sebanyak RM15 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun ini, meningkat berbanding RM8 bilion pada 2022.
- Peruntukan STR dan SARA dinaikkan kepada RM15 bilion untuk tahun ini.
- SARA disalurkan tanpa tunai melalui kredit terus ke MyKad penerima.
- Jumlah kedai rakan niaga SARA meningkat kepada 10,447 buah setakat 26 Januari.
- 1,096 premis di Sarawak didaftarkan sebagai rakan niaga SARA dan pemantauan berterusan dilaksanakan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, peningkatan peruntukan tersebut bertujuan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Jelas beliau, bantuan SARA dilaksanakan secara tanpa tunai melalui kredit yang disalurkan ke MyKad penerima.
Ia boleh digunakan bagi pembelian barangan keperluan asas di premis rakan niaga berdaftar.
“Setakat 26 Januari tahun ini, jumlah kedai rakan niaga SARA meningkat kepada 10,447 buah di seluruh negara, berbanding hanya 700 buah pada tahun 2024 dan jumlah itu akan terus bertambah dari semasa ke semasa.
Ini termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman bagi memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, bagi Sarawak sahaja, sebanyak 1,096 premis telah didaftarkan sebagai rakan niaga SARA.
Sementara itu, beliau memberi jaminan, pelaksanaan program bantuan akan terus dipantau bagi memastikan ia benar-benar dimanfaatkan oleh golongan sasar.