
KUALA LUMPUR, 28 Januari – Seramai 101,238 individu berjaya ditempatkan dalam pasaran pekerjaan negara menerusi Program Penempatan Pekerjaan Semula Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), setakat Disember tahun lalu.
- PERKESO berjaya tempatkan 101,238 individu melalui 3,715 program penempatan sehingga Disember.
- Sektor pembuatan menyerap 61,997 pekerjaan, diikuti perdagangan borong dan runcit serta sektor profesional dan teknikal.
- Tiga kluster catat kadar penempatan tertinggi: pengangkutan, perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan elektrik.
- Kadar penempatan kluster ini jauh melebihi purata kebangsaan bagi lepasan ijazah dan diploma.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pencapaian itu hasil pelaksanaan 3,715 program penempatan pekerjaan di seluruh negara.
Menurut beliau, 61,997 orang berjaya ditempatkan dalam sektor pembuatan, 25,481 orang dalam sektor perdagangan borong dan runcit, manakala 13,760 orang lagi memperoleh pekerjaan dalam sektor profesional, saintifik dan teknikal.
“Tiga kluster mencatat kadar penempatan tertinggi iaitu pengangkutan sebanyak 90.3 peratus, perkhidmatan kejuruteraan 88.6 peratus dan penyelenggaraan elektrik 88. peratus.
Kadar ini adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar kebangsaan iaitu 57.6 peratus bagi lepasan ijazah dan 53.3 peratus bagi lepasan diploma,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mengenai strategi kerajaan dalam menangani isu pekerjaan tidak setaraf kelayakan dalam kalangan graduan serta kadar penempatan kerja mengikut bidang pengajian dan sektor industri.