
PARLIMEN, 28 Januari – Peruntukan pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion bagi tahun ini bawah Anggaran Laporan Prestasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu kenaikan 13.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
- Fokus RMK13 kepada transformasi digital dan teknologi AI untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan produktiviti rakyat.
- Pemerkasaan rakyat melalui reformasi pasaran buruh serta pengembangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.
- Sabah dipacu sebagai hab ekonomi biru dengan penerapan infrastruktur moden, teknologi hijau dan pembangunan bersepadu inklusif.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, peruntukan itu melibatkan beberapa projek utama termasuk Pusat Jantung Sabah, Jalan Kalabakan–Simak Garis, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 41B serta projek Air Sabah.
Menurut beliau, peningkatan tersebut sejajar dengan pelaksanaan inisiatif pembangunan terkini yang menekankan transformasi digital, teknologi kecerdasan buatan (AI), pemerkasaan rakyat serta peralihan kepada ekonomi penciptaan nilai.
“Bawah RMK13, tumpuan diberikan kepada akses kesihatan, perumahan, penciptaan kekayaan, transformasi digital dan teknologi AI, selain pemerkasaan rakyat melalui reformasi pasaran buruh dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
RMK13 juga menekankan peralihan kepada ekonomi penciptaan nilai dengan keutamaan kepada industri berpertumbuhan dan bernilai tinggi serta sektor strategik seperti pelancongan, ekonomi biru, jingga serta lain-lain sumber pertumbuhan baharu,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, Sabah dikenal pasti sebagai hab ekonomi biru berpotensi besar, disokong kekayaan sumber asli dan biodiversiti, selain pembangunan infrastruktur moden, teknologi hijau serta ekonomi baharu.
Kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif bersepadu bagi memastikan pembangunan ekonomi Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya secara inklusif dan mampan.