
KOTA BHARU, 1 November – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan keseluruhan RM7.32 juta tahun ini bagi membaik pulih infrastruktur asas 48 institusi pendidikan Islam di Kelantan.
- Kerajaan meluluskan tambahan RM6.62 juta untuk baik pulih 42 institusi dan RM700,000 untuk tujuh institusi diumum pada 18 April.
- Kesinambungan komitmen kerajaan memperkukuh institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama dan pondok dalam melahirkan generasi berilmu.
- Kerajaan turut meluluskan RM9.36 juta untuk 2025 bagi menaik taraf prasarana 23 institusi pendidikan Islam di negeri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu merangkumi tambahan RM6.62 juta yang diluluskan tahun ini bagi kerja-kerja baik pulih membabitkan 42 institusi, selain RM700,000 untuk tujuh institusi yang diumumkan pada 18 April lalu.
Beliau berkata, jumlah berkenaan adalah kesinambungan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama dan pondok yang memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM9.36 juta pada 2025 bagi menaik taraf prasarana 23 institusi pendidikan Islam di negeri berkenaan.
“Ini tidak termasuk pembasmian kemiskinan, kerana itu penting. Semua tahu tentang Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang kita tambah baru ini. Semua pelajar… pelajar sekolah rendah hingga sekolah menengah masuk sahaja sekolah diberikan RM200.
“Jadi kita tanya bagaimana tertinggal sekolah pondok ini. Sebab itu saya tambah peruntukan umpamanya, selain daripada kemiskinan dan sebagainya. Untuk pembinaan masjid pun kita tambah, tetapi kerja-kerja penyelenggaraan Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum Al-Muhammadiah termasuk Kampong Kolam, ini saya baru luluskan RM500,000”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Datuk Seri Anwar memaklumkan, antara institusi yang menerima manfaat peruntukan baik pulih itu termasuk Maahad Tarbiah Mardiah Panchor, Kolej Tahfiz Sains Nurul Iman Ketereh, SMU Azhariah Melor, Pondok YIK Kandis Bachok serta beberapa sekolah agama di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah.