fb fb fb fb fb

Peruntukan RM22.5 juta kepada Kelantan, tidak ambil kira gelombang kedua dan seterusnya- Ahmad Maslan

FOTO BERNAMA

IPOH, 3 Disember- Sejumlah RM22.5 juta yang diperuntukkan bagi membaiki kerosakan jalan akibat banjir di Kelantan adalah kos penilaian awal yang tidak mengambil kira gelombang kedua dan seterusnya di negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata peruntukan itu juga hanya melibatkan kos kerosakan infrastruktur jalan di negeri tersebut sahaja dan tidak termasuk infrastruktur lain merangkumi bangunan, jambatan, dan cerun.

Tambah beliau, pihaknya telah mengaktifkan pasukan gerak kerja atau 'task force' khas bencana banjir melibatkan JKR negeri-negeri, yang fungsinya sama seperti Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) di ibu pejabat.

Ujarnya, pasukan itu diketuai Pengarah yang dibantu Timbalan Pengarah serta 11 orang Ketua Bahagian di pejabat JKR, seorang ketua jurutera elektrik, seorang ketua jurutera mekanikal, 12 jurutera daerah, Ketua Unit Tentera Negeri, dan Ketua Unit Pengkalan Tentera Laut.

Menurutnya, pasukan itu dikehendaki melaksanakan tugas di samping membuat pemakluman awal untuk memastikan sebarang perkara yang berlaku seperti kepada infrastruktur jambatan, dapat ditangani segera.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat JKR Perak, di Ipoh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE