fb fb fb fb fb

Peruntukan RM100 juta bagi Program Anak Kita, atasi keciciran pelajar

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/ BERNAMA

GEORGE TOWN, 22 September - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) sejak dilancarkan pada September tahun lalu.

Ia merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu keciciran pendidikan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, PAK bagi tahun 2024 dan 2025 sedang dilaksanakan dengan kerjasama tiga universiti awam dan tujuh Pertubuhan Masyarakat Sivil di samping sokongan pihak sekolah serta pegawai pendidikan di lapangan. 

"Kalau kita tengok daripada segi program anak cinta ini, kita mula tahun lalu dan menjangkau tahun ini, kita memperuntukkan RM100 juta untuk sekolah di seluruh Malaysia dan termasuk tahun ini jugalah untuk pecutan untuk tahun ini.

"Buat masa sekarang, ada intervensi di beberapa peringkat. Satu peringkat kita buat dari segi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan insya-Allah untuk budak-budak yang dapat pertolongan dengan ini, dia dapat keluar daripada tahap pencapaian mereka agar mereka lulus SPM dengan mendapat sijil", katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi perkongsian pelaksanaan Program Anak Kita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong, Bayan Lepas.

Hadir sama, Pengarah Kanan (Pendidikan), Yayasan Hasanah, Dr Nur Anuar Abdul Mutalib dan Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd Zawawi Ahmad.

Program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) yang diterajui oleh Unit Pantau MADANI bersama Yayasan Hasanah turut melibatkan murid sekolah rendah yang menghadapi kesukaran asas dalam membaca, menulis dan mengira (3M) dengan intervensi pemulihan untuk murid yang masih berada dalam kelas pemulihan agar mereka dapat kembali ke arus perdana. 

PAK berjaya mencapai 89 peratus daripada 10,119 lulus dalam SPM di peringkat nasional. Di Pulau Pinang, program itu telah memanfaatkan lebih 1,700 calon SPM 2024 dan 2025 daripada 74 buah sekolah.

Ia dijalankan menerusi program intervensi pemulihan pembelajaran melalui pemberian tablet digital dan pelan data untuk para calon mengikuti sesi pembelajaran dalam talian di luar waktu sekolah.

Hasilnya, 93 peratus daripada 460 calon SPM 2024 yang berisiko gagal berjaya lulus dan mendapatkan sijil SPM. Manakala, bagi tahun 2025, berdasarkan pencapaian pada Peperiksaan Pertengahan Tahun 2025.

Lebih 1,000 murid berjaya keluar daripada gred gagal bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, Sejarah dan Matematik.

ROSLINA BINTI DIN