KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kerajaan komited memperkukuh ekosistem syarikat pemula (startups) bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital negara, dengan peningkatan ketara dalam pelaburan dana dan insentif cukai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini sektor startups menyumbang RM1 bilion kepada KDNK dan menjana 82,000 peluang pekerjaan.
"Selaras dengan Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia, pelaburan Dana Perintis KWAP dan Jelawang Capital Khazanah akan ditingkatkan kepada RM750 juta, berbanding RM550 juta sebelum ini.
"Selain itu, Cradle Fund akan melaksanakan Program Pelaburan Ekuiti serta memperluas Bengkel Inovasi GLC kepada sektor swasta dengan peruntukan RM55 juta," katanya
Tambah Perdana Menteri, kerajaan turut bercadang menambah baik galakan cukai modal teroka sedia ada untuk tempoh 10 tahun, termasuk kadar cukai khas dan pengecualian cukai dividen bagi menarik lebih ramai pelabur ke dalam ekosistem startups tempatan.
Sejak diperkenalkan, Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) telah menarik lebih RM6 bilion modal melalui platform Pendanaan Ekuiti (ECF) dan Pembiayaan Rakan Setara (P2P), membantu PMKS tempatan berkembang ke peringkat global.
Selain itu kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi mengembangkan MyCIF ke peringkat ASEAN, meliputi sektor makanan, agritech, agetech dan ekonomi penjagaan berimpak tinggi.