fb fb fb fb fb

Persempadanan semula DUN Sarawak, akan dikemukakan kepada SPR - Premier

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

MIRI, 12 Februari- Sarawak akan mengemukakan cadangan mengenai urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di negeri itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan persempadanan semula itu adalah dibawah kuasa SPR dan mereka akan mengkaji cadangan tersebut.

Ini kerana sudah ada daripada pihak SPR maklumkan kepada kita, akan ada kajian persempadanan semula. Kita akan hantar cadangan," jelas Abang Johari kepada pemberita semasa kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin, di sini.

Jelas Premier, beliau bersama kepimpinan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain akan berbincang mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada SPR untuk membuat kajian serta keputusan. 

Sebelum ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh melalui kenyataan media pada 1 Januari lepas berkata SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan di Sarawak. 

Kali terakhir, kajian semula persempadanan bagi Sarawak adalah pada 2015.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM