fb fb fb fb fb

PERKESO santuni penerima faedah di Papar, perkukuh kesedaran perlindungan sosial

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kanan) dalam lawatannya di Papar, Sabah. Hadir sama, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

PAPAR, 19 Oktober- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus komited memastikan golongan sasar menerima manfaat perlindungan sosial.

Langkah itu dilaksana menerusi program lawatan ke rumah penerima faedah di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program turun padang itu membolehkan kementerian melihat sendiri keadaan sebenar penerima faedah serta memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya.

“Kami ingin melihat sendiri keadaan sebenar di peringkat akar umbi dan memastikan semua manfaat di bawah Kementerian Sumber Manusia dapat dilaksanakan dengan baik. Inilah hasilnya apabila mencarum dalam PERKESO,” kata Datuk Seri Abdul Rahman ketika ditemui pemberita semasa lawatan, di sini.

Program di Kampung Kelatuan itu menyantuni enam penerima faedah termasuk pencen Penakat dan keilatan.

Dalam kunjungan tersebut, sumbangan makanan serta peralatan perubatan turut disampaikan kepada penerima.

Hadir sama Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang menyambut baik usaha PERKESO mendekati pencarum di luar bandar.

“Ini salah satu cara untuk mendekatkan rakyat dengan PERKESO serta meningkatkan kesedaran kepada majikan tentang kepentingan mencarum. Alhamdulillah, ramai pencarum yang menerima manfaat apabila berdepan kemalangan atau sakit,” kata Datuk Mohamad.

Program turun padang berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan PERKESO untuk menyantuni rakyat serta memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan perlindungan sosial bagi semua lapisan masyarakat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM