Indonesia terima kapal pengangkut pesawat pertama

Bekas kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Itali, Giuseppe Garibaldi, berlabuh di Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta, pada 18 September sebaik tiba dari Itali/ AFP

JAKARTA, 18 September – Indonesia menerima kapal pengangkut pesawat pertamanya pada Jumaat, iaitu bekas kapal milik Tentera Laut Itali berusia 41 tahun, sebagai sebahagian usaha negara itu memodenkan aset ketenteraan yang semakin berusia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal dinamakan semula KRI Sriwijaya, akan fokus operasi bukan ketenteraan termasuk bantuan semasa bencana.
  • Kapal sepanjang 180 meter mampu membawa sehingga 18 helikopter dan menempatkan hingga 830 anggota.
  • Keadaan kapal dinilai masih baik dan dijangka berkhidmat selama 15 hingga 20 tahun.
  • Presiden Prabowo giat memodenkan ketenteraan, termasuk pembelian Rafale dan memperkukuh kerjasama pertahanan dengan India, AS dan Australia.

Kapal bekas milik Tentera Laut Itali, Giuseppe Garibaldi, tiba di sebuah pelabuhan di Jakarta selepas belayar dari Itali melalui Colombo dan Selat Melaka.

Menurut Ketua Staf Tentera Laut Indonesia Muhammad Ali, kapal itu akan dinamakan semula sebagai KRI Sriwijaya dan akan memberi tumpuan kepada operasi bukan ketenteraan, termasuk bantuan ketika bencana.

“Indonesia berdepan banyak bencana. Jadi, kita amat memerlukan kapal atau platform yang boleh membawa banyak helikopter, kerana helikopter boleh menghantar bekalan dengan pantas ke kawasan terpencil,” katanya.

Beliau berkata keadaan kapal itu masih baik dan berharap ia dapat digunakan Tentera Laut Indonesia untuk tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.

Jurucakap Tentera Laut Indonesia, Tunggul berkata, kapal sepanjang 180 meter itu mampu membawa sehingga 18 helikopter dan menempatkan sehingga 830 anggota. Kapal berkenaan mula digunakan Tentera Laut Itali pada 1985.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bekas jeneral yang dipilih pada 2024, giat berusaha memodenkan aset ketenteraan Indonesia yang semakin berusia selain memperkukuh kerjasama pertahanan dengan negara lain.

Pada 2022, Jakarta menandatangani perjanjian bernilai AS$8.1 bilion bawah pemerintahan Prabowo, yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan, untuk membeli 42 jet pejuang Rafale buatan Perancis. Sebanyak enam jet telah diserahkan setakat Mei lalu.

Pada Julai lalu, India mengesahkan akan membekalkan Indonesia dengan peluru berpandu jarak jauh, ketika Prabowo menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri India Narendra Modi di Jakarta.

Sementara itu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, pada April mengumumkan bahawa Washington dan Jakarta meningkatkan kerjasama pertahanan mereka kepada “Major Defence Cooperation Partnership”.

Indonesia turut menandatangani perjanjian keselamatan dengan Australia pada Februari, yang membuka laluan kepada kerjasama ketenteraan lebih rapat, termasuk sokongan Canberra bagi pembangunan kemudahan latihan untuk latihan bersama.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.