PUTRAJAYA, 27 Oktober – Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan kesahihan dokumen bertajuk “Perintah Larangan Penggunaan Telefon Pintar Bagi Individu Di Bawah Umur 16 Tahun” yang sedang tular di aplikasi WhatsApp.
Dalam satu kenyataan, JPM menegaskan bahawa dokumen berkenaan adalah palsu dan jabatan tersebut tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan larangan penggunaan telefon pintar bagi individu bawah umur.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa beretika dan bertanggungjawab serta memastikan kesahihan maklumat sebelum berkongsi kepada pihak lain bagi mengelakkan kekeliruan,” menurut kenyataan itu.
JPM turut mengingatkan bahawa penyebaran berita atau maklumat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan tindakan undang-undang terhadap individu terlibat.
Pihak jabatan menegaskan komitmen untuk memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat dan sahih daripada sumber rasmi kerajaan.