fb fb fb fb fb

PERDA peruntuk RM50 juta pembangunan tiga fasa projek Taman Sungai Bakap Perdana

Pengerusi PERDA, Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin

NIBONG TEBAL, 23 Jun - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukan RM50 juta bagi pembangunan tiga fasa projek perumahan Taman Sungai Bakap Perdana.

Projek fasa pertama telah siap sepenuhnya empat tahun lalu manakala dua lagi fasa dengan 105 unit rumah dijangka siap September tahun depan.

Pengerusi PERDA, Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin berkata projek fasa kedua dan ketiga menawarkan harga berpatutan iaitu 30 peratus lebih murah berbanding kawasan perumahan sekitar.

"Projek ini sudah hampir 50 peratus dan hujung tahun ini kita akan mula jual. Kita bina dahulu, sudah siap 50 peratus baru lah kita jual 105 unit rumah itu. Kita jual dalam harga lebih RM300,000 dan itu kos paling murah boleh kita jual, 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding kawasan sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Santuni Komuniti Madani dan Majlis Pra Pelancaran Taman Sungai Bakap Perdana Fasa Satu dan Dua di Taman Sungai Bakap Perdana, di sini.

Pelbagai program turut diadakan sempena majlis tersebut antaranya Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani, cabutan bertuah, aktiviti kecergasan fizikal dan aktiviti berkonsep kekeluargaan dan kemasyarakatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN