BANGI, 19 Februari- Kementerian Kesihatan Malaysia melancarkan inisiatif ’War on Stigma’ atau 'Perangi Stigma' bagi mendidik masyarakat agar mengubah persepsi negatif terhadap kesihatan mental.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata usaha itu penting kerana stigma terhadap isu kesihatan mental sering menjadi penghalang bagi individu yang mengalami masalah untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.
"Kesihatan adalah keadaan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang lengkap dan bukan semata-mata ketiadaan penyakit atau kelemahan, sekali gus kesihatan mental, fizikal, rohani, emosi seiring dengan serangkai", katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Kesihatan Mental 2025 di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi.
Beliau berkata pelancaran ’War on Stigma’ merupakan “S” yang ke-4 selepas pelancaran War of Sugar, Smoking dan Salt.
Kerajaan juga telah memperuntukkan RM24.6 juta untuk kesihatan mental dalam Belanjawan 2025 termasuk meluaskan akses kepada rawatan psikologi dan meningkatkan kapasiti Pusat Kesihatan Mental Negara.
Beliau berkata data menunjukkan isu kesihatan mental menyumbang kepada kehilangan produktiviti ekonomi global mencecah USD1 trilion (RM4.4 trilion) setiap tahun akibat ketidakhadiran kerja dan pengurangan keberkesanan tenaga kerja.
Katanya, menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah kemurungan.
Selain itu, data juga menunjukkan peningkatan dua kali ganda isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dari 424,000 orang pada 2019 kepada 922,000 orang pada 2023.