IPOH, 14 Disember- Perak sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berhubung pembukaan kilang pemprosesan bagi industri hiliran yang pertama di negara ini.
Ia merupakan kilang makmal Rare Earth Elements (REE) yang bertujuan menganalisa serta memproses bahan mineral dan akan dibina di atas tanah Perbadanan Menteri Besar Perak (MB INC) di Simpang Pulai.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sudah mempersiapkan syarikat untuk projek tersebut termasuk kerjasama bersama Perbadanan Menteri Besar (MB INC), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PERAK SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (SEDC).
"Kita harap kalau kerajaan pusat membenarkan makmal ini dibuka oleh kita, jadi bukan hanya dari Perak, negeri-negeri yang ada minera juga boleh datang ke makmal kita untuk kita buat analisa.
"Lagi cepat kementerian bagi kepada kita, kita perlu siapkan segera kerana kementerian telah mengeluarkan arahan tidak boleh eksport,"katanya.
Tambah Saarani, pembukaan kilang pemprosesan bagi industri hiliran harus segera dilakukan kerana sumber REE tidak boleh dieksport keluar negara bagi tujuan pemprosesan.
Beliau berkata demikian semasa Program Perak Economic Outlook 2024 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) di Ipoh.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan dasar larangan eksport bahan mentah REE ke luar negara bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber di negara ini.