fb fb fb fb fb

Perairan negara lebih kukuh, LCS dan LMS pacu kesiapsiagaan TLDM

Adly Zahari/ BERNAMA

SUBANG, 2 Mei - kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mengawal perairan negara bakal dipertingkat menerusi perolehan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) yang bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan perkembangan pembinaan aset-aset itu berjalan lancar, dengan kapal LCS pertama dijangka diterima pada Ogos tahun depan, manakala LMS pula dijadual siap pada 2027.

"Kita komited untuk menambah bilangan LMS, termasuk melalui kerjasama antara kerajaan (G2G) dengan Turki, selain meneruskan pembinaan LCS mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

"Pada masa ini, pembinaan LCS pertama telah dimuktamadkan dan kini dalam fasa ujian di pelabuhan serta ujian di laut. Kita menjangkakan menjelang tahun hadapan, keperluan LCS akan dapat dipenuhi sepenuhnya,” kata Adly.

Beliau turut menegaskan kerajaan komited melengkapkan setiap aset baharu dengan teknologi moden bagi memperkukuh keupayaan menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan studio digital di Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD