KUALA LUMPUR, 7 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berusaha untuk meletakkan kembali Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) bawah kementerian itu.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia bagi menyelaras industri francais di bawah satu kementerian sahaja selaras dengan akta berkaitan industri francais terletak bawah bidang kuasa KPDN.
PERNAS kini bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
"Sebaik sahaja menerajui KPDN, saya ada berbincang dengan Menteri KUSKOP dalam cara yang baik lah untuk membawa PERNAS ke bawah KPDN.
Namun, ia terletak kepada kabinet untuk memutuskan perkara itu," kata Salahuddin kepada media selepas merasmikan Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FE MIRF 2023) di Pusat Konvensyen KLCC.
Tambahnya, beliau telah menulis surat permohonan kepada Perdana Menteri awal tahun ini supaya PERNAS diletakkan bawah KPDN.
(FOTO BERNAMA)
Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia (FE MIRF 2023) menyajikan hampir 400 gerai pameran melibatkan lebih 200 pempamer dan menjangkakan kehadiran lebih 15,000 pengunjung.
Ia termasuk bakal pelabur, pemilik perniagaan dan pelanggan.
FE MIRF 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, dijangka mampu menarik pelaburan bernilai RM120 juta daripada pemain industri tempatan dan antarabangsa sepanjang tiga hari berlangsung.
Tambah Salahuddin, ia juga berpotensi untuk menghasilkan peningkatan dalam aktiviti perniagaan, transaksi pempamer dan jualan.
"Ini penting kerana apabila perdagangan domestik ini tumbuh dengan subur, maka ia akan membantu ekonomi tempata berkembang pesat dan dapat dipertingkat.
Industri francais adalah salah satu sasaran KPDN, kalau boleh apabila tahun 2023 ini berakhir, kita akan mencapai paling tidakpun angka RM30 juta dalam industri francais ini," tambahnya.