BALIK PULAU, 25 Oktober -Penutupan jalan di sepanjang Jalan Tun Sardon, di sini, dilanjutkan hingga 31 Oktober berikutan penemuan lokasi runtuhan baharu dan kewujudan lubang benam yang berlaku sejak 23 Oktober lepas.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan serta tugasan berkaitan oleh pihak kontraktor yang dilantik JKR daerah Barat Daya.
"Pengguna jalan raya diminta memberi kerjasama sepanjang penutupan jalan tersebut. Selain, pengguna dinasihati menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan sebaiknya," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari memaklumkan terdapat enam runtuhan cerun baharu berlaku di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau sejak awal pagi tadi hingga 12 tengahari tadi.