fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal maut, jatuh 21 meter dari 'flyover' Lebuhraya Dash

Lokasi mangsa dilaporkan terbabas dan terjatuh kira-kira 21 meter dari 'flyover' Lebuhraya DASH

SHAH ALAM, 24 Ogos - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas dan terjatuh dari ketinggian 21 meter di Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.40 pagi semalam.

Jelas beliau, mangsa seorang pelajar kolej swasta berusia 19 tahun, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah 'flyover' pada ketinggian kira-kira 21 meter ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN