
KUALA LUMPUR, 9 April – Penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) disifatkan sebagai langkah tepat kerajaan dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana negara, khususnya dalam memastikan penyelarasan lebih cekap antara pelbagai agensi terlibat.
- Pengalaman bencana 2014 mendedahkan kelemahan kesiapsiagaan dan keperluan pembaharuan sistem pengurusan bencana negara.
- Pendekatan menyeluruh diperlukan: pra-krisis, semasa krisis dan pasca krisis bagi pencegahan, tindak balas dan pemulihan.
- MPBN memperkukuh koordinasi antara bomba, polis, ATM dan pasukan kesihatan, memastikan rantaian arahan jelas.
- Komunikasi bersepadu penting untuk penyampaian maklumat dan bantuan pantas, mengelakkan pembaziran atau lebihan bantuan.
Profesor Kehormat Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Datuk Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata, keputusan itu wajar dan telah lama dinantikan susulan pengalaman negara berdepan bencana besar sebelum ini.
“Perkara bencana besar yang pernah kita lalui pada tahun 2014 telah membuka mata tentang tahap kesiapsiagaan kita. Sebelum ini, semua bencana dikawal selia oleh Majlis Keselamatan Negara, namun ia sahaja tidak mampu mengendalikan bencana berskala besar yang melibatkan banyak agensi secara serentak.
“Saya menganggap ini sebagai langkah yang telah lama dinantikan. Walaupun dilaksanakan pada tahun ini, ia masih relevan dan wajar,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan pendekatan menyeluruh dalam pengurusan bencana merangkumi tiga fasa utama iaitu pra-krisis, semasa krisis dan pasca krisis.
“Dalam pengurusan bencana, kita perlu melihat kepada fasa pencegahan dan persediaan, diikuti tindak balas ketika krisis, serta pemulihan selepas bencana,” jelasnya.
Tambah beliau, kewujudan MPBN mampu memperkukuh koordinasi antara agensi seperti bomba, polis, Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan kesihatan, sekali gus memastikan rantaian arahan lebih jelas.
Dalam masa sama, Datuk Prof Dr Azizul menekankan kepentingan komunikasi bersepadu bagi memastikan maklumat serta bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan tepat kepada kawasan terjejas.
“Kita tidak mahu berlaku pembaziran atau lebihan bantuan di satu kawasan, sedangkan kawasan lain masih memerlukan,” katanya.
Beliau turut berpandangan MPBN berpotensi bertindak sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana melalui koordinasi yang cekap serta penyaluran bantuan yang pantas.
“Kita memerlukan satu badan yang mampu menyelaras dan menyalurkan bantuan dengan tepat dan segera,” tambah beliau.
Terdahulu, Jemaah Menteri meluluskan penubuhan MPBN sebagai langkah memperkukuh tadbir urus pengurusan bencana serta pengurangan risiko di negara ini.