
SEREMBAN, 9 April – Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah diarah mengadakan perbincangan segera bagi memendekkan tempoh misi, sekali gus membawa pulang anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan lebih awal.
- Wakil Tetap Malaysia ke PBB diarahkan runding dengan Setiausaha Agung dan negara anggota misi untuk memendekkan tempoh misi dan bawa pulang MALBATT.
- Malaysia tidak boleh menarik MALBATT secara unilateral kerana misi berada di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
- Sebagai langkah berjaga-jaga, semua anggota diarahkan hentikan rondaan dan kekal berada di pangkalan untuk keselamatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara berkenaan, yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan anggota MALBATT yang ditempatkan bawah misi pengaman PBB.
“Saya telah arahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB untuk berurusan dengan Setiausaha Agung PBB dan berpakat dengan negara-negara yang menganggotai pasukan pengaman ini untuk memutuskan perkara ini.
“Meskipun misi MALBATT di Lubnan tamat hujung tahun ini, jika keadaan mendesak, PBB diminta menyemak semula terma dan tarikh matang.
“Kita tidak mahu tentera Malaysia yang menganggotai pasukan pengaman ini tercedera atau terbunuh,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung PIBG Sekolah-Sekolah Menengah, Sekolah Rendah, SJKC dan SJKT dalam Dun Rantau di Dewan Komuniti Rantau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia tidak boleh membawa pulang anggota MALBATT secara unilateral memandangkan misi tersebut berada bawah seliaan PBB.
Sebagai langkah berjaga-jaga, semua anggota MALBATT telah diarah menghentikan rondaan dan kekal berada di pangkalan.