
LANGKAWI, 9 April – Pesawah di Langkawi, Kedah mendapat sinar baharu apabila kerajaan bakal memperkenalkan kaedah pemberian subsidi diesel kepada pesawah.
- KPDN sediakan borang permit dan buka kaunter di Pertubuhan Peladang Kawasan untuk memudahkan petani memohon pengisian diesel dalam tong.
- Pesawah mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian atas perhatian serta sokongan kepada komuniti petani.
- Lebih 50 jentera berat digunakan; lebih 30 pesawah dan pengusaha merayu kepada Perdana Menteri bagi bantuan susulan kenaikan harga diesel.
Menurut Pengurus Besar Pertubuhan Petani Kawasan (PPK) Langkawi, Mohd Aizat Rostam, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyediakan borang permohonan permit mengisi minyak diesel bagi kenderaan dan jentera berat bagi kegunaan pesawah.
“Keluhan daripada petani berhubung isu ini akan dipermudahkan apabila KPDN membuka kaunter di Pertubuhan Peladang Kawasan, memudahkan untuk petani memohon permit diesel untuk isi dalam tong”, katanya.
Tambahnya, terdapat lebih 50 jentera dan kenderaan berat seperti traktor, lori dan mesin padi yang digunakan oleh pesawah di daerah itu.
Sementara itu, pesawah merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sudi mendengar rintihan mereka.
“Sebagai wakil pihak petani, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga Menteri Pertanian atas perhatian serta sokongan yang diberikan”, kata Pengerusi PPK Langkawi Hassim Saad.
“Telah membawa sinarnya yang baik serta harapan baru kepada warga petani di Langkawi untuk menikmati subsidi yang telah ditetapkan oleh kerajaan”, kata Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Negeri Kedah Datuk Zuraidi Rahim.
Mereka ditemui pada sidang media di Pusat Pengumpulan Padi Kampung Bukit Hantu, Langkawi.
Pada 2 April lalu, lebih 30 orang pesawah, pengusaha traktor dan mesin padi di Langkawi hadir merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu mereka yang terkesan dengan kenaikan harga minyak diesel.
Terdapat 1,098 pesawah padi berdaftar yang mengusahakan 1500 hektar tanaman padi dengan penanaman dilakukan dua kali setahun iaitu pada Mei dan Ogos, bergantung kepada bekalan air hujan.