SEREMBAN, 19 Jun - Masyarakat perlu lebih peka dan berhati-hati semasa melakukan urusan dalam talian bagi mengelak ditipu oleh 'scammer'.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, jenayah komersial di negeri itu semakin meningkat, dengan kerugian mencecah RM47.74 juta sejak Januari hingga kini.
Katanya, 82 peratus daripada kes tersebut melibatkan penipuan dalam talian berbanding jenayah komersial lain.
“Kami sedia maklum bahawa lebih 80 peratus kes penipuan yang berlaku hari ini melibatkan aktiviti dalam talian. Keadaan ini perlu dibendung kerana hampir RM45 juta telah lesap akibat penipuan tersebut, satu jumlah kerugian besar kepada negeri. Sekiranya wang ini digunakan dalam sektor ekonomi, ia sebenarnya boleh menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri," katanya pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024 di sini, hari ini.
Tambahnya, orang ramai perlu memastikan perniagaan dalam talian sah dan boleh dipercayai sebelum membuat sebarang pembelian atau transaksi.