fb fb fb fb fb

Peniaga pasar malam di Perlis laksana pembayaran tanpa tunai

Asrul Aimran Abd Jalil / Foto RTM

KANGAR, 7 November - Peniaga pasar malam di Perlis digalakkan melaksanakan kaedah pembayaran tanpa tunai kepada pelanggan bagi menyokong Pelan Digital Perlis 2021-2025 sepenuhnya.

Ia juga dilihat mampu meningkatkan jualan dan pendapatan peniaga selain mengembangkan serta melestarikan perniagaan mereka.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil, transaksi tanpa tunai dilihat sebagai pemudah cara dalam perniagaan apabila tidak memerlukan pertukaran wang secara fizikal.

"Perlis ini telah menuju kepada cashless. Pasar malam ini juga kebanyakkan peniaga ini yang berdaftar dengan kita ini, kita menggalakkan mereka untuk penggunaan cashless ini.

"Dengan mudah hari ini, orang tak payah bawa dah cash, dia boleh saja bawa untuk scan qr code untuk berjual beli.

"Walaupun beli makanan-makanan yang simple pun kita tengok tadi ada dah gerai-gerai macam ayam gunting pun dia dah ada boleh kita buat cashless, mudah untuk pembayaran, katanya pemberita ketika mengadakan Walkabout Pembukaan Semula Pasar Malam Kangar di Tapak Pasar Lama Kangar.

Tambahnya, Pelan Digital Perlis yang digubal bagi tempoh lima tahun sehingga penghujung 2025 bertujuan untuk meletakkan asas yang kukuh dalam memacu ke arah Perlis Negeri Bandaraya yang pintar menjelang tahun 2030.

Sebelum ini, Pasar Malam Kangar yang ditutup sejak 1998 kembali beroperasi selepas 26 tahun di lokasi asal iaitu di Tapak Pasar Lama Kangar yang menjadi tumpuan 80 peniaga dan penduduk setempat.

Trainee