
KUALA LUMPUR, 6 November – Peniaga yang gagal memastikan alat timbang dan sukat mempunyai pengesahan sah berdepan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
- Peniaga mesti memastikan alat timbang dan sukat ditentusahkan serta tempoh pengesahan masih sah.
- Pengguna boleh menimbang semula barangan di kaunter timbang Program Pasar PATUH dan membuat aduan jika ragu.
- Program Pasar PATUH bertujuan tingkatkan pematuhan peniaga, mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil dan mesra pengguna.
- SHMMP Deepavali 2026 melibatkan 11 barangan kawalan; KPDN gerakkan 99 pegawai penguatkuasa dan 70 Pegawai Pemantau Harga.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Mohd Sabri Seman berkata, semua peniaga perlu memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan ditentusahkan mengikut ketetapan, termasuk memastikan tempoh pengesahannya belum tamat.
“Sekiranya terdapat peniaga yang tidak mengkalibrasi alat timbang atau menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh pengesahannya, kita akan terus mengenakan kompaun.
“Inisiatif ini pula merupakan langkah pelengkap kepada proses penguatkuasaan. Sekiranya terdapat peniaga yang terlepas daripada pemantauan, pengguna boleh membuat pemeriksaan sendiri menggunakan kemudahan timbang yang disediakan dan telah ditentusahkan ketepatannya,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna boleh menyemak sendiri ketepatan timbangan barangan yang dibeli menerusi kemudahan kaunter timbang di bawah Program Pasar PATUH (3P).
Menurut Mohd Sabri, kemudahan itu membolehkan pengguna memeriksa berat barangan sekiranya meragui timbangan yang dibuat peniaga, selain menyalurkan aduan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Maksudnya, sekiranya terdapat peniaga yang terlepas daripada pemantauan, pengguna boleh membuat pemeriksaan sendiri menggunakan kemudahan timbang yang disediakan KPDN dan telah ditentusahkan ketepatannya. Pengguna juga boleh terus menyalurkan aduan sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program tinjauan Program Pasar PATUH dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI), hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN, Aris Mamat.
Program Pasar PATUH diperkenalkan di Kuala Lumpur pada 2025 di Pasar Awam Sungai Besi sebelum diperluas ke Pasar Besar TTDI sebagai lokasi kedua pelaksanaannya.
Program itu bertujuan meningkatkan pematuhan peniaga terhadap undang-undang dan peraturan, selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil dan mesra pengguna.
Antara inisiatif diperkenalkan ialah Tanda Harga PATUH serta kemudahan kaunter timbang menerusi inisiatif “Jom Timbang & Semak” bagi membolehkan pengguna mengesahkan berat barangan secara kendiri.
Sementara itu, SHMMP Deepavali 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 10 November melibatkan 11 jenis barangan kawalan berbanding sembilan jenis tahun lalu.
Lima daripadanya mencatatkan penurunan harga maksimum berbanding tahun lalu, iaitu kelapa biji, kelapa parut, bawang besar, bawang merah kecil India dan dhal Australia.
Bagi memastikan pematuhan sepanjang tempoh skim itu, KPDN WPKL menggerakkan 99 pegawai penguat kuasa dan 70 Pegawai Pemantau Harga (PPH) untuk menjalankan pemeriksaan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.
Pengguna yang mengesan sebarang pelanggaran boleh menyalurkan aduan menerusi WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.