
TAWAU, 3 September – Penggiat industri kreatif perlu mematuhi garis panduan ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta tidak menghasilkan kandungan yang melangkaui batas moral dan sensitiviti masyarakat.
- Pihak berkuasa diminta ambil tindakan untuk halang kandungan drama yang digantung daripada terus disiarkan atau diakses melalui platform digital.
- Nilai murni perlu diselaraskan dalam kandungan kerana ia menentukan kesan positif atau negatif ke atas masyarakat.
- Kerajaan tidak menyokong kandungan tidak bermoral dan menyerahkan tindakan lanjut kepada agensi berkaitan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan, pihaknya memahami kebimbangan masyarakat berhubung kandungan drama tempatan yang masih boleh diakses walaupun sebahagian episodnya telah digantung.
Menurut beliau, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kandungan sedemikian tidak terus disiarkan atau boleh diakses masyarakat menerusi platform digital.
“Kita juga perlu sekalikan dengan nilai kerana nilai inilah yang akan memberi kesan sama ada positif atau pun negatif dalam kalangan masyarakat. Perlu ingat, JAKIM ada garis panduan yang telah disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rakan Sulh Komuniti Siri 2 dan Ops Nafkah: Waris Peduli Keluarga Sejahtera di Tawau.
Sementara itu, Marhamah menegaskan kerajaan tidak pernah menyokong kandungan tidak bermoral dan menyerahkan kepada agensi berkaitan untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung isu berkenaan.