KUCHING, 10 November- Kerajaan memberi tempoh sebulan bagi semua pengendali media sosial mendaftar kod tatalaku pelesenan perkhidmatan media sosial yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia MCMC.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia penting bagi memastikan pengendali media sosial yang berpengkalan di luar negara melindungi hak pengguna tempatan.
"Mereka sekarang dalam proses memberi maklum balas draf tatalaku secara umum namun ada beberapa yang merasakan lebih besar daripada negara berdaulat," katanya.
Tegasnya lagi setiap pengendali platform media sosial harus bersikap adil dengan semua pengguna dan tidak hanya memandang serius apabila MCMC campur tangan.
Fahmi bercakap kepada media selepas melawat ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional, NADI Taman Sukma, di Kuching.
Setakat ini, 156 NADI beroperasi di Sarawak bagi menyokong pembangunan komuniti setempat.
Sementara itu, ketika membuat tinjauan pengoperasian menara JENDELA Fasa 1 di Kampung Sungai Aur, Fahmi turut memaklumkan kerajaan mahu projek pembinaan menara Jalinan Digital Negara, JENDELA menepati garis masa yang ditetapkan.
Beliau berkata setakat ini terdapat hanya sebuah syarikat telco yang mempamerkan prestasi yang baik di mana hampir 90 peratus projek yang dianugerahkan siap mengikut masa.
Syarikat U Mobile katanya setakat hari ini telah menyiapkan sejumlah 78 menara JENDELA daripada 81 yang dianugerahkan kementeriannya.
Selain itu, beliau memaklumkan bagi projek SMART yang diusahakan oleh kerajaan negeri Sarawak, 325 daripada 600 menara telah siap dan beroperasi.
Beliau berkata, sejumlah RM42 juta dana telah diperuntukkan bagi pengoperasian menara tersebut dan berharap lebih banyak menara dapat segera disiapkan untuk manfaat rakyat.